Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan penganjur forum, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) dalam Facebook institut tersebut hari ini.

“Tajuk batal. Wacana diteruskan dengan pengubahsuaian tajuk sedikit,” jelas pengendali laman Facebook Atma dalam hantaran kemaskini mengenai program tersebut.

Forum tersebut dijadualkan berlangsung di Bilik Senat Aras 5 UKM itu dengan tajuk “Kependudukan dan Pergerakan Etnik di Kepulauan Melayu”.

Panelis yang akan menjayakan forum, ialah Profesor Penyelidikan Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican; Pensyarah Arkeologi USM, Dr. Nasha Rodziadi Khaw; Profesor Atma, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli serta Pakar Tamadun India Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Azharudin Mohamed Dali.

Penukaran tajuk tersebut dilakukan susulan bantahan pihak-pihak tertentu yang menganggap program itu sebagai ““memalukan” ketika “Malaysia Baharu” sepatutnya mengenepikan soal perkauman dan “perkara yang menimbulkan kebencian antara kaum”. - UTUSAN ONLINE