Sebaliknya, pemudah cara forum, Imran Rashid menyuarakan rasa kecewa terhadap laporan Utusan Online mengenai forum berkenaan.

“Maaf, saya tak ada komen. Masih kecewa dengan laporan Utusan hari ini tentang forum. Terima kasih,” jawabnya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Suasana dalam forum anjuran Persatuan Persahabatan Berpanjangan Kuala Lumpur-Selangor dan Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 menjadi tegang apabila dua ahli panelnya enggan menjawab dengan tepat soalan berhubung keperluan untuk mengkaji semula buku teks Sejarah di peringkat sekolah menengah.

Keadaan menjadi tegang apabila seorang daripada ahli panel, Fahmi Reza seolah-olah enggan melayan soalan peserta yang memintanya memberikan justifikasi terhadap pembunuhan yang dilakukan pengganas komunis sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila seorang lagi ahli panel, Fadiah Nadwa Fikri mendakwa ‘peperangan’ yang dimulakan penjajah British terhadap pengganas komunis pada 1948 adalah satu detik hitam dalam sejarah negara dalam forum yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor, hari ini. - UTUSAN ONLINE