Dr. Mahathir berkata, ini kerana golongan itu perlu diberi perhatian sepenuhnya bagi membolehkan mereka mendapat akses bekalan makanan kerana dapat menjimatkan perbelanjaan bagi kos pembelian makanan.

Kata beliau, ini juga secara tidak langsung meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) golongan tersebut untuk digunakan bagi perkara-perkara penting lain seperti pendidikan dan kesihatan.

“Saya dimaklumkan melalui Program Food Bank Malaysia ini, lebihan makanan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan sasar dan rumah kebajikan yang berdaftar.

“Saya juga dimaklumkan, program Food Bank Malaysia ini akan mensasarkan seramai 186,354

Ketua Isi Rumah (KIR) yang berada di bawah Paras Garis Kemiskinan di seluruh negara untuk diagihkan lebihan makanan yang dikumpul,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran program Food Bank Malaysia di sini hari ini.

Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - UTUSAN ONLINE