Bagi meneruskan kelangsungan khidmatnya kepada negara, salah satu misi utama beliau adalah untuk melaksanakan keputusan yang dimeterai melalui Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) bagi dimanfaatkan oleh kedua-dua belah pihak. “Inisiatif ini selari dengan hasrat kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMMAD YASIR JAAFAR selepas menerima watikah pelantikannya semalam.

 

UTUSAN: Apa perasaan Datuk Seri atas pelantikan tersebut?

HASAN: Syukur kepada Allah SWT, pertama sekali saya ingin merafak sembah dan menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selepas berkenan menyampaikan watikah pelantikan ini. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Luar di atas kepercayaan ini bagi meneruskan kelangsungan khidmat saya kepada negara.

Pada dasarnya apa tanggungjawab utama Datuk Seri dalam memikul jawatan tersebut?

HASAN: Insya-Allah, sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja, saya akan pastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini akan digalas sebaik mungkin terutamanya dalam usaha mempertingkatkan jalinan dan hubungan kerjasama kedua-dua negara merangkumi semua aspek seperti politik, ekonomi dan sosiobudaya dalam komuniti ASEAN.

Mungkin Datuk Seri akan memberi fokus terhadap beberapa sektor yang mampu membawa manfaat kepada kedua-dua negara?

HASAN: Saya sudah mempunyai beberapa perancangan awal. Ini termasuk memfokuskan usaha untuk memacu sektor perdagangan dua hala. Saya melihat banyak potensi baharu yang boleh diteroka terutamanya di Kemboja. Ruangnya cukup luas seperti membawa masuk pelabur tempatan ke sana. Usaha ini berupaya membuka peluang baharu bagi kedua-dua belah pihak dan secara tidak langsung turut mempertingkatkan penawaran dari segi tenaga kerja. Begitu juga dalam konteks industri pelancongan di mana kita mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini. Secara amnya, saya melihat semua strukturnya sudah ada, apa yang perlu dilakukan adalah menaik taraf bagi menjayakannya.

Apa cabaran yang mungkin dihadapi Datuk Seri?

HASAN: Selaku ahli Parlimen saya tetap akan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan Kuala Pilah. Saya perlu terus memastikan kesejahteraan dan kebajikan mereka sentiasa terbela. Ini selari dengan konteks rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Jus­teru, saya perlu mengatur masa dengan efisien untuk terus turun ke padang bertemu orang ramai di kawasan Parlimen Kuala Pilah. Lagipun Kemboja tidak begitu jauh. Pegawai saya juga akan terus membantu saya bagi menjaga kawasan Parlimen.

Apakah harapan dan misi utama Datuk Seri di Kemboja?

HASAN: AEC telah diwujudkan dan pelaksanaan pelan tindakan 10 tahun juga telah dimeterai. Maka akan menjadi tugas saya untuk memastikan pelan itu berjalan dan dapat dilaksanakan dengan baik. Bagi merealisasikan itu, komuniti ASEAN perlu tampil lebih padu dalam aspek politik termasuk ekonomi agar benar-benar berupaya menjadi kuasa ketiga di rantau Asia selepas China dan India. Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan dan Perdana Menteri demi kepentingan semua pihak. Di samping itu, harapan saya adalah untuk membantu komuniti masyarakat Islam di Kemboja. Mereka juga mempunyai komuniti Islam, kita mempunyai keupayaan, maka kita mungkin boleh fikirkan cara-cara bagaimana untuk kita membantu mereka.