Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal demikian kerana FTA tersebut bukan hanya suatu permulaan ke arah jalinan hubungan perniagaan yang baik antara Hong Kong sebagai hab untuk pengeks­portan barangan dan perkhidmatan dari Malaysia ke tanah besar China tetapi di kawasan serantau.

Malah, jelasnya, sebanyak AS$50 bilion (RM209 bilion) yang dipanggil sebagai urus niaga telah memberi kelebihan kepada Malaysia untuk pengeksportan produk dari Malaysia melalui Hong Kong.

“Oleh kerana kepenggunaannya mungkin sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja untuk penduduk Hong Kong tetapi selebihnya barangan eksport ini diedarkan ke negara-negara serantau dan apabila FTA ini ditandatangani, banyak insentif akan diperoleh kedua-dua belah pihak.

“Kita lihat dari segi pelaburan asing langsung (FDI), ini akan memberi peluang kepada Malaysia menarik lebih ramai pelabur dari Hong Kong dan dengan adanya FTA tentu lebih banyak insentif yang akan diberikan oleh Kementerian Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di dalam menggalakkan lebih banyak pelabur dari Hong Kong me­labur di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia sebaik sahaja tiba ke Hong Kong bagi menyempurnakan Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) 2017 di sini.

Ahmad Zahid memberitahu, ba­nyak kawasan pembangunan baharu boleh diterokai terutama Kawasan Pembangunan Perak Selatan.

Jelas beliau, untuk itu beberapa langkah harus dilakukan pihak Malaysia dan Hong Kong terutama dalam merebut peluang perdagangan ke negara ASEAN.

“Biarpun ada negara yang menjadi tapak untuk pengedaran per­khidmatan dan barangan eksport dari Hong Kong yang jadi transit untuk barangan yang dibawa ma­suk ke rantau ASEAN tetapi Malaysia boleh main peranan lebih pen­ting dari tempoh yang lalu kerana kemudahan pelabuhan dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Kita tahu Jack Ma (Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba) telah menggunakan Malaysia sebagai hab transit dan pengedaran produk dari beberapa negara rantau ASEAN untuk pasaran dunia, khususnya China. Ini merupakan peluang terbaik bukan hanya untuk syarikat di Malaysia sedia ada tetapi akan menggalakkan PKS melakukan beberapa usaha memperba­nyakkan keluaran produk dan di­salurkan melalui DFTZ,” katanya.

Oleh yang demikian, kata beliau, FTA tersebut cukup penting untuk diambil peluang usahawan dalam PKS bagi menyebarluaskan produk dari Malaysia. – UTUSAN