Lian Ker yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat MCA berkata, petikan kenyataan Wong Tack bukan sahaja disiarkan secara jelas dalam portal tersebut, malahan dipetik semula oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Dr. Kua Kia Soong dalam artikel balasnya pada hari yang sama.

“Setelah pendapatnya dikritik Kia Soong, Wong Tack diam seribu bahasa sehingga saya terpaksa tampil untuk memperbetul pandangan orang ramai tentang kaum Cina di negara ini. Sejurus selepas itu barulah beliau bersuara dan menuduh saya memutarbelitkan kenyataan beliau.

“Bagaimana saya boleh memutar belit sedangkan kenyataan tersebut telah disiarkan oleh FMT dan dipetik oleh Kia Soong? Hanya ada dua kemungkinan, sama ada Wong Tack menipu, atau FMT tersalah petik kenyataan beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wong Tack dalam kenyataannya menerusi FMT mendakwa masyarakat Cina di negara ini boleh menerima penyelewengan pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana perniagaan mereka masih boleh berjalan dan stabil.

Kenyataan tersebut menerima kritikan keras daripada Kia Soong dan Lian Ker yang menganggap ia merendahkan martabat kaum Cina yang sebenarnya membenci penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. - UTUSAN ONLINE