Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan mengalu-alukan penganjuran acara seumpama itu yang dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira usia dan memberi peluang kepada semua untuk menikmati keindahan tanah air.

“Saya berharap Floria Diraja Putrajaya akan dijadikan acara tahunan lebih-lebih lagi dengan jalinan kerjasama dengan badan korporat dan badan bukan kerajaan sepertimana yang dilaksanakan pada kali ini untuk memberi nilai tambahan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018 di sini hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat merasmikan festival berkenaan.

Sementara itu, Wan Azizah menambah, kerajaan berhasrat agar Floria Diraja menjadi setara dengan Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof, Belanda setiap tahun. - UTUSAN ONLINE