ABDUL RAHMAN OSMAN
ABDUL RAHMAN OSMAN

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang memberikan nasihat itu berkata, di dalam al-Quran ada menjelaskan betapa bahayanya perbuatan memfitnah kepada masyarakat, selain ia juga merupakan dosa besar dalam Islam malah lebih besar daripada dosa membunuh.

‘‘Pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 ini, kita lihat ba­nyak sekali berita-berita yang kita terima terutama menerusi media sosial yang tidak sahih tentang kebenarannya dan disebarkan semula sehingga menzalimi pihak tertentu.

‘‘Jangan disebabkan penyebaran berita-berita fitnah ini, ia menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman yang dinikmati negara selama ini,’’ katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Semalam, seorang ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad mendedahkan bahawa DAP sengaja memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya dengan matlamat untuk meracuni pemikiran rakyat.

Amran yang juga bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP mendakwa, parti itu akan menyebarkan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah secara berperingkat menjelang hari pe­ngundian 9 Mei ini.

‘‘Semua perbuatan propaganda jahat dan menyebarkan fitnah terancang dilakukan dengan tujuan untuk memastikan kemenangan parti itu dalam PRU-14 nanti,’’ katanya.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Dr. Abdul Rahman berkata, umat Islam tidak boleh bersekongkol dengan mana-mana pihak yang diketahui mempunyai niat untuk mengubah Malaysia daripada sebuah negara Islam kepada negara sekular. – BERNAMA