Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, meka­nisme itu berjaya dicapai dalam satu pertemuan tertutup oleh Menteri, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan penggiat-penggiat seni tanah air pada Selasa lalu.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah wakil-wa­kil Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pe­ngarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Seniman Malaysia (Se­niman) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Hasil pertemuan itu, semua bersetuju dengan pilihan untuk mewujudkan satu kategori baharu iaitu Anugerah Filem Terbaik Nasional di FFM28.

“Ini merupakan anugerah utama kebangsaan kepada Filem Terbaik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan.

“Sementara itu, Anugerah Filem Terbaik Malaysia FFM28 pula terbuka kepada filem yang dihasilkan oleh rakyat negara ini dengan menggunakan sebarang bahasa atau dialek yang dituturkan oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa dialog filem,” jelas Mohd. Khusairi.

Sementara itu, menurut Mohd. Khusairi lagi, kategori Pengarah Terbaik dan Lakon layar Terbaik juga terbuka kepada semua penggiat seni tempatan tanpa mengira bahasa pertuturan yang digunakan dalam filem arahan atau terbitan mereka.

Dengan mekanisme baharu ini, menurut Mohd. Khusairi, semua pihak perlu menghormati dan menerima keputusan ini tanpa prejudis dan pertikaian, selain sama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menghargai karya seni anak-anak tempatan melalui festival tersebut.

Terdahulu, berlaku pertikaian apabila tiga kategori utama iaitu Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik telah diasingkan mengikut spesifikasi 70 peratus bahasa pertuturan dalam filem sama ada menggunakan bahasa kebangsaan atau tidak.