Berdasarkan skrip para pelakon termasuk Rajinikanth dalam filem yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia itu seolah-olah meleceh­kan kedudukan bangsa India di negara ini.

Dialog pelakon terkenal Taiwan, Winston Chao misalnya dalam satu babak bersama pelakon Malaysia, Datuk Rosyam Nor dan Rajinikanth terdapat sebaris ayat yang menggelar bangsa Tamil sebagai Keling.

“Awak tidak layak. Saya ada idea, selepas semua ini, awak Tamil Keling perlu menjadi anjing. Anjing saya”.

Selain itu, dialog bintang handalan India berusia 65 tahun itu juga mengecewakan apabila mendakwa bangsa India di negara ini ditindas oleh kaum-kaum lain.

Malah, beliau turut mempersoalkan kedudukan kaum India di negara ini sebagai hamba, yang realitinya tidak berlaku.

“Kami ditindas oleh masyarakat Malaysia. Kamu bangsa Cina me­lakukan perkara yang sama terhadap kami bangsa Tamil. Adakah bangsa Tamil hanya layak menjadi hamba? Adakah mereka tidak boleh maju lebih daripada itu dalam hidup ini?

“Jika seseorang datang ke depan dengan kedudukan yang berkuasa, berpakaian kemas dan duduk bersilang kaki sebelah awak, awak tidak boleh terima jika dia bangsa Tamil”.

Mingguan Malaysia juga difahamkan, babak tersebut telah disunting untuk tayangan di negara ini manakala filem penuh masih dikekalkan untuk tontonan seluruh dunia.

Filem itu memaparkan Rajinikanth melakonkan watak seorang gengster bernama kabali yang menentang amalan songsang dalam kalangan masyarakat India.

Semalam, ratusan peminat pelakon Tamil itu sanggup meredah hujan dan kesesakan lalu lintas bagi menonton tayangan perdana filem tersebut di sebuah pawagam di sini.