Laman Instagram syarikat produksi Astro Shaw menunjukkan pawagam di pusat beli-belah, East Coast Mall, Kuantan; Queensbay Mall, Pulau Pinang; Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lagi mencatatkan penjualan tiket yang memberangsangkan sepanjang hari ini.

Ternyata kesempatan cuti panjang sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini diambil penonton untuk menyaksikan filem terbitan Astro Shaw itu.

Tayangan antara pukul 2 petang sehingga 5 petang untuk filem berkenaan dilihat antara yang menjadi rebutan penonton.

Filem Ola Bola yang membuka tirai pada 28 Januari lalu ditayangkan di seluruh negara termasuk Brunei dan berjaya mencatatkan penjualan tiket mencecah RM2.5 juta dalam masa empat hari.

Filem tersebut menampilkan kisah kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia selain memaparkan kisah kekeluargaan yang padat dengan emosi.

Antara pelakon yang menjayakan filem itu ialah Bront Palarae, JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen di samping penampilan istimewa Datuk Rahim Razali.