Jelas Zahirah yang membawakan watak Fika, dia turut menghubungi Niena seminggu sekali untuk mengetahui keadaan pelakon itu memandangkan Niena kini sedang mengandung anak pertama.

“Memang kasihan sebenarnya apabila ramai yang geram dengan watak Husna. Malah Niena juga menerima tempias kebencian itu.

“Saya memang ada menghubungi dia seminggu sekali tanya keadaan dia kerana dia sedang hamil. Tetapi dia kata perkara ini tidak menjejaskan emosinya dan dia okey-okey sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis perlantikan sebagai duta produk kecantikan Meeracle petang ini.

Berharap penonton setia drama tersebut tidak terlalu obses dengan watak Husna, kata Zahirah, dia juga mengagumi sikap Niena yang dianggapnya sangat berani.

“Saya cuma harap penonton jangan terlalu terbawa-bawa hingga ke luar drama.

“Tetapi saya anggap Niena seorang yang berani kerana jika saya, belum tentu mampu membawakan watak Husna itu dengan baik,” katanya lagi.

Watak Husna yang dijayakan Niena dalam drama tersebut yang sedang ditayangkan kini menerima kecaman penonton.

Membawakan watak antagonis sebagai perampas suami orang, penampilan Niena yang bertudung juga memberi kesan kepada penonton. - UTUSAN ONLINE