Menurut FGV, peletakan jawatan tersebut adalah untuk membolehkan beliau memberi fokus kepada urusan peribadi.

Berikutan perkembangan ter­babit, Lembaga Pengarah telah melantik Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa hari ini.

“Kumpulan FGV mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd. Isa di atas sumbangan beliau kepada Kumpulan sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi.

“Kumpulan juga mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, untuk masa depan, Lembaga Pengarah FGV dan pengurusan akan fokus kepada usaha meningkatkan tadbir urus korporat yang baik dan mengukuhkan prestasi kewangan Kumpulan.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila Mohd. Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Zakaria Arshad; Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd. Karim untuk bercuti 6 Jun lalu.
Susulan itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas bagi mencari penyelesaian kepada krisis terbabit.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat itu.