Pemangku Pengerusinya, Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, satu panel bebas akan ditubuhkan yang dianggotai oleh beberapa individu dalam syarikat itu untuk menyiasat segala perkara berkaitan transaksi tersebut.

Menurutnya, empat individu yang akan disiasat termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad akan diberi peluang dan masa yang secukupnya untuk membela diri masing-ma­sing sepanjang proses siasatan berlangsung.

“Kita meletakkan sasaran supaya hasil siasatan ini dapat dimuktamadkan pada 14 Ogos ini.

“Proses siasatan akan dilakukan secara adil dan memastikan mereka yang disiasat diberi peluang untuk mempertahankan diri masing-masing

“Siasatan ini bukan satu konspirasi bagi menjatuhkan sesiapa seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Siasatan akan dilakukan berdasarkan fakta yang ada. Kita bu­kan hendak menjatuhkan se­siapa,” katanya pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri an­juran FGV di sini semalam.

Pada awal Jun lalu, Zakaria serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd. Talha diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung tunggakan hutang yang diberikan kepada syarikat Safitex yang didakwa melanggar peraturan FGV.

Sulaiman berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menasihati FGV supaya proses siasatan dilakukan secara adil dan pada sama mahu tadbir urus syarikat berkenaan te­rus berada pada tahap ter­tinggi.

“Jika didapati tidak bersalah, kesemua mereka yang disiasat boleh kembali bertugas seperti biasa,” katanya.

Tambah Sulaiman, selain proses siasatan itu, fokus utama FGV kini adalah untuk menambah baik tadbir urus syarikat bagi menjaga kepentingan para pemegang saham serta menambahkan bilangan tenaga kerja di bahagian perladangan.