Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, pihaknya mempunyai kelebihan dari segi menyediakan perkhidmatan tersebut memandangkan pembinaan ECRL berpusat di Ku­antan, Pahang dan kemudahannya terletak berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan sebelum projek itu kemudiannya diperluaskan ke Kelantan dan Selangor.

Katanya, dengan pengalaman dan rekod prestasi yang baik, FGV bukan sahaja mampu menyediakan perkhidmatan logistik secara bersepadu untuk projek ECRL tetapi juga pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) dan projek mega infras­truktur yang lain.

“Kami sedang berusaha menyokong pembangunan projek ini terutama dari segi menyediakan per­khidmatan pengangkutan bagi membawa peralatan dan bahan binaan untuk keseluruhan projek ECRL ini.

“Malah, kami boleh menjadi antara pusat sehenti logistik bagi projek ini. Saya juga menganggarkan 10 peratus daripada tempoh tujuh tahun pembinaan projek ECRL ini akan me­libatkan sokong­an logistik,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

FGV baru-baru ini menerusi Sektor Logistik dan Lain-lain (LO) menerima kunjungan delegasi ECRL ke Fasiliti Terbuka Kuantan Depot, Felda Transport Services dan Felda Johore-Bulkers Kuantan di Pelabuhan Kuantan, Gebeng.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer yang akan menghubungkan Lembah Klang de­ngan Pahang, Terengganu dan Kelantan selari dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur negara dan menaik taraf pengangkutan awam di luar bandar.

Awal tahun ini, FGV melaksanakan penstrukturan semula perniagaannya dengan memberi keutamaan kepada tiga sektor iaitu Perladangan, Gula dan LO sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan tadbir urus yang lebih berhemah.

Buat masa ini, sektor logistik FGV merangkumi operasi pengangkutan pelbagai modal (MTO), penghantaran barang, pengangkutan kargo, tangki simpanan pukal, gudang dan pengendalian operasi terminal cecair berhampiran pelabuhan.

Dari segi aset, FGV memiliki hampir 500 buah trak, 15 hab pengangkutan, dua gudang, dua jeti dan sembilan fasiliti simpanan dengan jumlah kapasiti lebih daripada 900,000 tan metrik.

Namun, menurut Khairil, sektor Perladangan dan Gula masih kekal sebagai perniagaan teras kumpulan manakala pengembangan dalam sektor LO akan menyediakan pendapatan tambahan kepada kumpulan.

Katanya, FGV mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan logistik sama ada di dalam mahupun luar negara dan satu daripadanya menerusi kerjasama strategik dengan syarikat yang berkaitan dengan industri supaya dapat menjana pendapatan yang lebih stabil kepada kumpulan tanpa bergantung kepada sektor teras.

“Di peringkat global, kerjasama FGV dengan syarikat dari Pakistan, Westbury Group bagi meningkatkan kapasiti tangki simpanan kepada 38,000 tan metrik di Pelabuhan Qasim berada dalam momentum yang betul dengan 15,000 tan metrik telah lengkap pada Mei lalu. Kita jangkakan keseluruhan projek ini siap menjelang hujung tahun ini.