Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, Zakaria dan Ahmad Tifli turut diberi tempoh selama tujuh hari bermula hari ini untuk mengemukakan jawapan bertulis membabitkan dakwaan yang disenaraikan dalam surat tunjuk sebab berkenaan.

Mereka juga akan terus bercuti sehingga mendapat notis selanjutnya daripada Lembaga Pengarah FGV.

Pada minggu lepas, Lembaga Pengarah itu mengarahkan empat pegawai kanannya untuk bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan siasatan audit dalaman melibatkan tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil Products yang juga anak syarikat FGV.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti ialah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd. Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar. – BERNAMA