Festival sempena Sambutan Tahun Baharu Cina itu adalah simbolik untuk menarik lebih ramai masyarakat Cina yang berhijrah di luar Terengganu dapat balik menyambut hari kebesaran itu d samping bersama memeriahkan program berkenaan.

Festival yang pertama kali dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu akan dijayakan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Perindustrian Cina negeri.

Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Pelancongan dan Kebudyaan), Wan Mohd Firdaus Wan Sembok berkata, festival itu diisi dengan pelbagai acara antaranya persembahan tarian singa, perarakan maskot Mek dan Awang, serta tarian kebudayaan Mek dan Awang.

"Akan akan turut diagihkan buah limau dan beras kepada pengunjung sepanjang festival itu berlangsung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Perindustrian Cina negeri, Martim Tok.

Menurut beliau, kebudayaan peranakan Terengganu mempunyai warisan tradisonal yang amat unik dari segi adat resam, pemakaian, makanan dan loghat perbualan melalui proses asimilasi budaya dengan masyarakat Melayu.

Katanya, festival itu akan dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri sekali gus membantu mengembalikan kegemilangan seni, budaya dan warisan masyarakat Cina tempatan.

Wan Mohd Firdaus berkata, masyarakat peranakan juga bertuah kerana sebuah telemovie Mek dan Awang yang menonjolkan keunikan kehidupan masyarakat peranakan Cina dan Melayu itu di sini akan bersiaran di saluran TV3 sempena Tahun Baru Cina pada 17 Februari ini.

Difahamkan, drama arahan Sabri Yunus itu menggabungkan barisan pelakon termasuk Pauline Tan sebagai May, Syazwan Zulkifli (Dani), Wan Hanafi Su (Pok Mat tukang bot) dan Sulaiman Yassin memegang watak nelayan yang dikenali sebagai Awang. - UTUSAN ONLINE