Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pesta berkaitan arak itu tidak selaras dengan cara hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini dan tidak sepatutnya dianjurkan sejak awal lagi.

Katanya, agama turut mela­rang meminumnya kerana ia boleh mendatangkan pelbagai masalah.

“Festival ini adalah berkaitan arak malah tidak mengandungi unsur budaya dan bagi saya pihak berkuasa berhak mengambil tindakan selaras dengan prinsip dan asas budaya kita.

“Sebelum menganjurkan se­suatu festival atau pesta, mereka perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat lebih-lebih lagi majoriti rakyat di negara ini ber­agama Islam,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Diskusi Karya dan Pelancaran Buku-buku Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin dan Kesejahteraan Hidup Yang Abadi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Humaniti Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Timbalan Ke­tua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin Abg. Shokeran.

Rais menegaskan, penganju­ran pesta tidak bermoral lain seperti pesta homoseksual boleh mero­sakkan generasi muda negara.

“Memang ada golongan ini sejak dulu lagi tetapi tidak menjadi masalah seperti sekarang apabila mereka kononnya me­nuntut mereka mendapat hak asasi manusia.

“Bagi saya itu bukan hak asasi manusia kerana mereka golo­ngan minoriti, malah tindakan mereka boleh merosakkan mo­ral generasi baharu dan moral tanah air kita,” katanya.