Rata-rata golongan muda yang terlibat dengan aktiviti tidak bermanfaat itu merasakan berkumpul beramai-ramai, berlumba serta membuat bising sebagai keseronokan dan sebahagian daripada aktiviti mengisi masa lapang mereka khususnya pada hujung minggu.

Menurut Pakar Psikologi Trafik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozmi Ismail, kecenderungan golongan muda terlibat dengan aktiviti itu dikesan bermula dari usia muda.

“Bermula dari sekolah rendah mereka bermain basikal beramai-ramai kemudian apabila masuk ke sekolah menengah mula berjinak-jinak pula dengan motosikal.

“Akhirnya apabila mula melangkah ke alam kerja, kerancakan aktiviti tersebut turut terbawa-bawa. Bagaimanapun, apabila mereka melangkah ke alam perkahwinan, aktiviti tersebut akan berkurangan sedikit demi sedikit,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Romzi berkata, hasil kajiannya mendapati golongan mat rempit tegar yang gemar melepak dan membuang masa dengan berkumpul di bahu-bahu jalan tertentu itu majoritinya masih tiada tanggungjawab terutamanya sebagai ketua keluarga.

Tegasnya, isu mat rempit juga merupakan refleksi golongan muda daripada keluarga dan masyarakat yang bermasalah.

“Ia silih berganti, apabila usia golongan tersebut kian meningkat, aktiviti akan berkurangan atau ditinggalkan dan akan digantikan oleh ‘junior’ mat rempit dari kelompok masyarakat yang sama.

“Mereka ini (remaja bermasalah) sememangnya gemar akan cabaran dan sering terlibat dengan aktiviti bertentangan dengan undang-undang kerana merasakan ia lebih mencabar dan menyeronokkan berbanding aktiviti-aktiviti lain,” katanya.

Katanya, lebih parah, bagi yang menonjol dalam golongan tersebut, mereka dipuja dan diiktiraf sebagai ‘hero’ sekali gus membuatkan mereka semakin berani melakukan aksi-aksi yang lebih berbahaya.

“Hal demikian bertentangan dengan persepsi masyarakat sekeliling yang memandang rendah kelompok tersebut malah sering dianggap seperti tiada masa hadapan,” ujarnya.

Jelasnya, golongan itu juga sering dikecam di sekolah membuatkan mereka semakin menjauh dan mula memilih aktiviti-aktiviti seperti merempit yang dilihat lebih sesuai dan ‘kena’ dengan mereka.

“Mereka ini memerlukan perhatian sama ada daripada ibu bapa mahupun masyarakat.

“Menganjurkan program seperti menjadikan mereka pelumba, mekanik atau usahawan profesional, mungkin boleh menyelamatkan mereka,” ujarnya.