MOHD. HISHAM MOHD. ANIP
MOHD. HISHAM MOHD. ANIP 

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan musim Monsun Barat Daya yang dialami negara berikutan keadaan atmosfera yang kondusif.

“Ribut garis badai menyebabkan angin kencang, hujan lebat dan petir yang kerap semasa musim Monsun Barat Daya yang bermula 1 Jun lalu.

“Tanda-tanda awal sebelum ribut berlaku adalah pembentukan awan besar secara menegak, berkepul dan berwarna gelap serta penurunan suhu secara mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, fenomena ribut garis badai yang menghasilkan hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan sebanyak 139 buah rumah dan 38 sekolah di Perlis mengalami kerosakan.

Mengulas lanjut, Mohd, Hisham berkata, orang ramai perlu segera berlindung di tempat yang selamat apabila terdapat tanda-tanda petir, hujan lebat dan perubahan kelajuan angin dengan drastik.

Katanya, sekira­nya berlaku feno­me­na tersebut, orang ramai perlu berlindung di dalam bangunan yang kukuh dan menjauhi pokok, tiang elektrik dan air banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Kelajuan angin semasa kejadian ribut garis badai adalah melebihi 50 kilometer sejam dan boleh mencapai sehingga 70 kilometer sejam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mastura Mahmud berkata, fenomena cuaca ekstrem bukanlah luar biasa.