Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, ini ke­rana siasatan dalaman dilakukan mendapati telah berlaku fraud dalam urusan pindah milik tersebut.

Ujarnya, Felda turut men­da­patkan pandangan daripada beberapa pihak lain seperti Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara dalam perkara tersebut.

“Kita yakin berlaku fraud mem­babitkan urusan pindah milik hak tanah melibatkan syarikat pemaju Synergy Promenade Sdn. Bhd.

“Disebabkan itu, kita yakin untuk mendapatkan semula hak ke atas tanah tersebut yang mana prosesnya akan dibuat mengikut prosedur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program khatan beramai-ramai anjuran Parlimen Johor Bahru di Rumah Pangsa Larkin di sini hari ini.

Menurut Shahrir, laporan polis telah dibuat dan biarlah polis siasat kerana negara mempunyai rekod, manakala semua latar belakang syarikat dan pengarah boleh dicari di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Felda turut menyerahkan per­­kara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

“Pihaknya juga tidak akan men­dedahkan sebarang nama yang disyaki terlibat dalam transaksi itu,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.