Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, fasa pertama, sebanyak 600 pokok ditanam seluas enam hektar, dan kelak akan turut dikembangkan ke beberapa lagi kawasan di tanah rancangan di sini.

"Ini meliputi Felda Neram 2, Felda Cherul 1 & 2, Felda Seberang Tayor, Felda Kerteh 5 dan Felda Kerteh 6 melibatkan keseluruhan kawasan seluas 20 hektar," katanya kepada pemberita merasmikan Projek Rintis Ladang Durian Felda Parlimen Kemaman Sumber Kekayaan Baharu di Dewan Felda Neram 1 disini petang semalam.

Yang turut hadir,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan Komoditi negeri, Muhammad Pehimi Yusof;  Ketua Pengarah Jabatan Pertanian  Datuk Jamal Harizan; Timbalan Pengarah Besar Ekonomi Felda, Haniff Ahmad Norilah; Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Rosli Othman  dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Wan Mohd Saidi Salleh.

Katanya, permintaan terhadap durian, terutama Musang King di luar negara dianggap luar biasanya terutama di China, dan pihak kementerian mensasarkan eksport  ke China akan melonjak kepadak RM92 juta pada tahun 2020 berbanding  RM23 juta pada tahun lalu.

"Durian yang dieksport (ke China) adalah dalam bentuk sejuk beku seperti paste dan pulp serta produk berasaskan durian manakala durian segar kebanyakan ke Singapura dan Hong Kong.

"Bayangkan (dengan nilai harga pasaran kini) hasil pengeluaran durian Musang King dalam masa lima hingga tujuh tahun akan datang boleh mencecah RM150,000 setahun bagi satu hektar berbanding nanas (RM120,000), kelapa sawit (RM17,000),"ujarnya. - UTUSAN ONLINE