Pengerusi Permuafakatan NGO Felda, Mazlan Aliman berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji yang termaktub dalam manifesto termasuk memansuhkan 50 peratus hutang peneroka Felda.

“Langkah ini (menyediakan penyata hutang) kerja Felda, bukan kerja kerajaan sebab itu kita menuntut supaya Felda dapat mempercepatkan proses itu.

“Sampai hari ini kita belum mendapat maklum balas selepas hampir sebulan mengadakan perjumpaan dan saya hendak luahkan sedikit kekecewaan,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan bersama kakitangan Kilang Sawit Felda Lepar Utara 4 dan wakil peneroka berkaitan penutupan kilang berkenaan.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, berdasarkan taklimat yang diberikan hari ini, FGV akan menutup operasi kilang berkenaan dalam tempoh dua minggu dan dijadikan sebagai pusat pengumpulan.

Bagaimanapun, katanya, FGV akan menanggung segala kos pengangkutan dan menjamin kualiti perahan ditentukan semasa kelapa sawit dihantar ke pusat pengumpulan. - UTUSAN ONLINE