Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, rujukan yang digunakan Rafizi bagi membuat dakwaan itu juga adalah tidak tepat, sebaliknya pembe­lian premis tersebut dibuat menggunakan dana hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) pada 2012.

Beliau mengakui KWSP pernah meluluskan pinjaman dengan jami­nan kerajaan kepada Felda sebanyak RM6.5 bilion pada 2009 tetapi ia bertujuan untuk membiayai keperluan program tanam semula peneroka dan keperluan Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. bagi melaksanakan aktiviti pelaburan.

“Keputusan mendapatkan pembiayaan daripada KWSP dibuat setelah Felda meneliti keperluan pembiayaan pada masa itu.

“Felda membayar semula prinsipal dan keuntungan pinjaman KWSP mengikut jadual yang ditetapkan oleh dana pencen itu dan pinjaman dijadualkan selesai pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shahrir, beliau sendiri memaklumkan kepada media pada 12 Februari lalu mengenai pembelian Grand Plaza Serviced Apartments hasil penyenaraian FGV pada 2012 dan perkara itu mendapat liputan akhbar-akhbar utama.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa dakwaan Rafizi kononnya Felda akan kerugian RM38 juta akibat jualan aset di London itu adalah tidak tepat kerana pembelian tersebut menggunakan dana dalaman Felda dan tidak menanggung sebarang kos bayaran faedah.

“Rafizi tidak sedar bahawa Felda merupakan sebuah badan berkanun yang mempunyai sumber pendapatan dan kewangan sendiri tanpa mendapat pembiayaan kos operasi daripada Kerajaan Persekutuan sejak 1996.

“Ini bermakna perjalanan operasi Felda tidak langsung ditanggung oleh pembayar cukai mahupun peneroka,” katanya.

Shahrir menambah, penjualan Grand Plaza Serviced Apartments merupakan satu daripada inisiatif penyusunan Felda untuk menjual aset-aset yang tiada berkaitan dengan operasi teras organisasi.

“Sehingga kini, sebanyak 54 pihak menyatakan minat untuk membeli aset berkenaan dan kami berada dalam peringkat akhir untuk meneliti tawaran terbaik dan munasabah,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan Rafizi mengenai perbelanjaan misteri operasi aset itu sebanyak RM80 juta adalah tidak berasas kerana komponen utama perbelanjaan pentadbiran yang dirujuk itu adalah bayaran kadar pajakan tahunan, iaitu sewa yang kepada FIC Grand Plaza Ltd. yang menguruskan perniagaan syarikat induknya.