Hasrat itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkarnain Md. Eusope memandangkan keluasan tanah tersebut didapati agak besar dan sesuai untuk diusahakan ladang penanaman kelapa.

"Ketika ini, Felcra bangunkan projek tanaman kelapa dari jenis pandan dan matag di Seberang Perak dan di Sungai Udang, Melaka. Menerusi pembangunan projek pertanian itu, ia telah memberi kesan besar kepada pendapatan penduduk tempatan di kawasan berkenaan.

"Di daerah Sabak Bernam ini, kita dapati ada banyak tanah penduduk kampung yang terbiar tidak diusahakan sedangkan ia sesuai untuk penanaman kelapa. Justeru, kita berminat untuk bekerjasama dengan para pemilik tanah untuk melaksanakan projek ladang kelapa sekaligus menarik minat mereka menyertai Felcra.

"Jika hasilnya baik, ia boleh menjana pendapatan melebihi RM300 hingga RM500 sebulan ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munsyi Abdullah di Sungai Air Tawar, di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Felcra Urus Estet Sdn. Bhd. merangkap Yang Dipertua PIBG SMK Munshi Abdullah, Datuk Abd. Rahman Bakri serta Pengetua sekolah itu, Noraini Ibrahim.

Dalam majlis yang sama, Zulkarnain turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi kerja-kerja membaik pulih surau serta mengecat bangunan SMK Munsyi Abdullah. - UTUSAN ONLINE.