Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Zulkarnain Md. Eusope berkata, hasrat itu disuarakan selepas melihat negara tersebut berjaya menjadi salah sebuah negara pengeluar jagung utama selain turut mampu menampung keperluan kira-kira 260 Juta keperluan seluruh negaranya pada tahun lalu.

Ujarnya, tiga tahun lalu, Indonesia juga adalah antara negara pengimport utama jagung daripada negara luar antaranya Brazil iaitu sebanyak empat juta tan setahun.

“Kini, negara masih lagi melakukan perkara sama iaitu mengimport sebanyak empat juta tan jagung setahun dan apa yang menjadi tekanan, negara kita bergantung 100 peratus kepada import jagung tersebut.

“Felcra telah diberi mandat oleh kerajaan sebagai salah satu agensi gedung makanan negara. Kita harus banyak belajar dengan negara seberang itu daripada segi sistem, pengurusan serta teknologi yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengiringi lawatan Menteri Pertanian Indonesia, Dr. Andi Amran Sulaiman ke Wisma Felcra Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob serta Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin

Dalam pada itu, menurut Zulkarnain, Dr. Andi Amran turut berminat mengajak Felcra bekerjasama dengan Indonesia dalam pembangunan tiga sektor iaitu perladangan (kelapa sawit dan getah), sektor pertanian makanan (padi, jagung ternakan serta bawang) dan pembangunan rakyat miskin di Indonesia.

Tambahnya, pemimpin negara seberang itu menyarankan agar Malaysia dan Indonesia melakukan kerjasama strategik bagi menonjolkan diri sebagai negara pengeluar hasil kelapa sawit terbesar di dunia bagi penanda aras dalam mengawal harga komoditi berkenaan.

“Sebelum ini, harga kelapa sawit ditentukan oleh negara lain termasuk Eropah dan mereka sering mengambil peluang memburuk-burukan negara pengeluar kelapa sawit demi menjaga reputasi negara mereka sebagai pengeluar minyak sayuran.

“Bagi jagung ternakan serta bawang, negara kita dianggarkan telah mengimport sekitar dua hingga tiga bilion setahun manakala pembelian hasil tenusu juga tidak kurang hebatnya iaitu dalam lingkungan 93 peratus setiap tahun. Kita mengaku yang mana negara kita telah ketinggalan selama 25 tahun daripada segi pertanian kerana sebelum ini mereka lebih mementingkan sektor perindustrian,” katanya. - UTUSAN