Pengerusi Permodalan Nasio­nal Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dan berharap masyarakat Islam akan terus mempertingkatkan pelaburan masing-masing selain turut menjelaskan tentang kejayaan yang diperoleh negara hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

 

Kenyataan penuh Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd.

BARU-BARU ini kami telah menerima pengesahan daripada Mufti Pulau Pinang bahawa Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dalam mesyuarat mereka pada 14-15 Ogos 2017 telah mengeluarkan Fatwa Harus untuk pelaburan dalam ASB/ASNB. Ini selaras dengan Fatwa Kebangsaan yang telah dikeluarkan pada 2008 dan Fatwa Negeri Selangor yang telah diputuskan pada 25 April 2017.

Ini bermakna pelaburan dalam ASB/ASNB adalah dibenarkan dari segi syariah. PNB akan terus mempertingkatkan pematuhan syariah dalam urusan pelaburannya dan mempertingkatkan instrumen pelaburan kewangan Islam. Dengan perkembangan terkini Ini, saya berharap masyarakat Islam akan terus mempertingkatkan pelaburan mereka dalam pelbagai unit-unit saham amanah yang diuruskan oleh PNB/ASNB.

2. Pengiktirafan kejayaan negara

Saya bertuah kerana telah diberi peluang berkhidmat selama 30 tahun dalam sektor swasta/korporat dan dalam kerajaan. Ini telah membolehkan saya membuat perbandingan kedudukan dalam negara berbanding negara-negara lain di rantau Asia Tenggara dan seluruh dunia. Memang kita tidak sempurna dan terdapat perkara-perkara yang perlu diperbaiki, tetapi banyak kejayaan yang telah kita capai dalam pertumbuhan ekonomi, pembinaan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Pertumbuhan ekonomi (terkini 5.8% untuk suku tahun kedua 2017) itu penting untuk mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Infrastruktur (MRT, LRT, ETS, lebuh raya) penting untuk mempertingkatkan perhubungan, produktiviti dan pembangunan ke seluruh pelosok negara. Transformasi syarikat-syarikat milik kerajaan penting untuk mempertingkatkan prestasi, tadbir urus dan peranan membina negara. Apabila prestasi GLC meningkat, mereka akan memberi pulangan yang lebih tinggi kepada PNB, KWSP, KWAP, LTH, LTAT dan lain-lain pelabur rakyat Malaysia umumnya.

Yang terkini, cara kerajaan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam pelbagai inisiatif mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat telah mendapat pengiktirafan tertinggi. Pakar pengurusan terkenal sedunia, Prof. W Chan Kim dan Renee Mauborgne dalam buku terkini mereka bertajuk Blue Ocean Shift yang akan dilancarkan pada 26 September 2017 merujuk kepada NBOS Summit yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sejak 2009 untuk merintis strategi inovatif dan pendekatan baru yang boleh mencapai impak sosial yang tinggi pada kos yang rendah.

Antara inisiatif yang mendapat pengiktirafan dalam buku tersebut adalah inisiatif Program Pemulihan Komuniti (CRP) yang melibatkan penjenayah kecil diberi peluang melalui proses pemulihan di pusat CRP yang dibina dalam kem tentera, bukan dimasukkan ke dalam penjara baru yang perlu di dibina. Ini menjimatkan perbelanjaan dan mengelakkan pesalah kecil daripada bergaul dengan penjenayah berat di dalam penjara.

Pesalah diberi latihan vokasional untuk membolehkan mereka memelihara ikan dan menanam sayur-sayuran yang kemudiannya dijual di pasaran. Pesalah juga diberi kelonggaran menerima pelawat dari kalangan keluarga. Dan setelah dibebaskan, mereka dibantu untuk mencari kerja atau memulakan perniagaan.

Pendekatan NBOS ini telah berjaya menurunkan kadar pesalah kembali kepada jenayah sebanyak 90% kepada paras di bawah 1%. Jauh lebih rendah berbanding kadar 65% di California. Buku yang dijangka menjadi ‘bestseller’ ini sudah tentu akan mengharumkan nama negara di persada dunia. Sila lawat www.blueoceanstrategy.com/blue-ocean-strategy-for-national-development untuk maklumat lanjut.

3. Azam tahun baru

Sempena Maal Hijrah ini marilah kita bersama-sama membuka lembaran baru. Bagi saya, selain perkara-perkara peribadi, ada tiga perkara yang menjadi keutamaan. Pertama, perlunya kita bersikap membina dalam memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan negara kita. Fokus lebih kepada perkara-perkara yang menyatukan kita, bukan kepada perkara-perkara yang memisahkan kita

Kedua, jalankan amanah yang telah diberikan kepada kita. Laksanakan tugas masing-masing dengan cekap, penuh integriti dan humiliti iaitu dengan sikap rendah diri dan saling menghormati. Berikan penekanan lebih kepada ‘substance’ atau inti, bukan kepada ‘form’ atau bentuk.

Ketiga, sampaikan maklumat dengan penuh tanggungjawab. Jauhkan fitnah dan jangan sebarkan berita tanpa usul periksa.

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1439. Semoga kita semua dirahmati dan sentiasa dalam pelindungan Allah.