Menyentuh kontroversi yang melanda Syafiq, 26, yang juga naib juara HR 2012 itu, Fattah menasihatkan agar pelakon berkenaan berbincang dengan syarikat pengurusannya dalam mencari solusi terbaik menangani permasalahan yang timbul.

“Sebagai seorang selebriti, sewajarnya Syafiq sudah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang situasi sama ada yang boleh melonjakkan nama atau mencalarkan imej.

“Saya yakin, Syafiq berada di bawah syarikat pengurusan berpengalaman yang mampu mengendalikan kontroversi tersebut,” katanya menitip pesanan kepada rakan baiknya itu.

Sementara itu, mengulas tentang perkembangan kesihatan Fendy, 30, yang diuji dengan penyakit pneumonia, Fattah berharap bintang drama Mr. Grey itu dikurniakan ketabahan untuk menghadapi ujian Allah itu.

“Fendy juga kini berada di bawah pengurusan yang mampu menguruskan sebarang spekulasi liar berhubung masalah kesihatan yang dihidapinya,” katanya.

Memandangkan Fendy juga adalah finalis HR 2012, Fattah menyarankan agar alumni program realiti berkenaan bersatu hati menghulurkan bantuan sama ada dari sudut kewangan ataupun tenaga jika dia benar-benar memerlukan.

“Setakat ini saya belum mendengar tentang pelancaran tabung derma bagi mengumpulkan dana merawat Fendy. Seandainya ada, saya bersedia untuk turut serta membantunya,” tambahnya.

Selain Fattah, Syafiq dan Fendy, antara barisan pelakon yang lahir daripada HR 2012 dan masih aktif ialah Saharul Ridzwan, Hafidz Roshdi, Hafreez Adam, Ben Amir, Nazrief Nazri dan Ben Ali. - UTUSAN ONLINE