Dalam sidang akhbar yang diadakan di sini hari ini, Fattah bagaimanapun mendedahkan, dia dan Fazura sudah mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu dan dalam perancangan untuk mengikuti kursus perkahwinan tidak lama lagi.

“Sekeras-kerasnya saya menafikan bahawa kami bernikah pada 14 November lalu seperti yang telah digembar-gemburkan media sebelum ini.

“Berita yang disebarkan itu agak mengecewakan kami dan mengelirukan peminat kedua-dua pihak. Pada tarikh yang dimaksudkan, hanya majlis doa selamat diadakan, bukan majlis pernikahan seperti yang didakwa,” katanya.

Sementara itu, Fazura menambah, tindakan segelintir pihak menyebarkan khabar tidak sahih itu telah mengganggu privasi peribadi mereka apatah lagi keluarga kedua-dua belah pihak juga sedang mengerjakan umrah.

“Saya percaya walaupun kami selebriti, sebagai manusia kami juga mempunyai hak untuk memiliki privasi.

“Sepanjang berada di Mekah, kami sentiasa diiringi ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Jadi tidak timbul isu mengatakan kami terlebih mesra ketika di sana,” katanya.

Fattah dan Fazura juga menjelaskan, majlis pernikahan yang dirancang bakal dilaksanakan secara tertutup untuk ahli keluarga cuma acara resepsi sahaja yang akan mengundang media serta rakan terdekat.