Malah, terdapat segelintir ne­tizen yang yakin pasangan ber­kenaan sudah melangsungkan pernikahan atau bertunang.

Tidak kurang juga yang membuat andaian Fattah dan Fazura akan bernikah di Tanah Suci berikutan kedua-dua pelakon itu sedang mengerjakan umrah sambil ditemani keluarga terdekat.

Laman sosial pasangan drama bersiri Hero Seorang Cinde­rella itu dihujani dengan ucapan tahniah daripada peminat-pe­minat.

Antara mesej yang ditinggalkan ialah daripada netizen yang menggunakan identiti ­­@msfafa_96 yang mengucapkan tahniah kepada pasangan itu, selain mendoakan Fattah dan Fazura dimurahkan rezeki selepas berkahwin.

“Fattah, perbanyakkan doa depan Kaabah supaya dilimpahkan rezeki, diberi kekayaan dunia dan akhirat. Usah takut akan hilang populariti selepas berkahwin. Yakinlah rezeki semua daripada Allah. Semoga dapat jadi usahawan yang berjaya suatu hari nanti,” tulis @msfafa_96.

Seorang lagi netizen @normurni02 pula berkongsi kegembiraannya sekiranya Fattah dan Fazura telah mengikat tali pertunangan.

Dia juga berjanji untuk te­rus memberi sokongan kepada pelakon lelaki kegemarannya, selain menyatakan harapannya agar Fattah tidak berputus asa menghadapi apa saja cabaran.

Sementara itu, pengarah drama popular, Michael Ang yang juga dikenali sebagai rakan karib Fattah dan Fazura menjelaskan, dia tidak pernah diberitahu yang pasangan berkenaan sudah mendirikan rumah tangga.

Sekalipun kerap bertemu kedua-dua pelakon itu di lokasi penggambaran drama Coffee Prin­ce beberapa minggu lalu, namun baik Fattah mahupun Fazura tidak langsung berkongsi berita gembira itu dengannya.

Kata Michael, sepanjang di lokasi penggambaran, Fattah tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai hari bahagianya.

Malah jelas Michael, dia ha­nya mengetahui Fattah akan ke Mekah bersama ahli keluarganya dan meminta cuti selama dua minggu sebelum kembali semula ke lokasi penggambaran pada 29 November ini.

“Saya tidak tahu apa-apa. Be­tul ke majlis pernikahan (Selasa)? Mengenali Fattah juga dia bukanlah seorang yang suka bercakap di set,” katanya.