Pada masa sama, Fattah berjanji akan terus memberi soko­ng­an kepada wanita yang pernah dikaitkan sebagai kekasihnya sebelum ini.

Menurut Fattah, sebagai seorang sahabat, dia juga menerima baik laporan berita mengenai hubungan Neelofa dengan kerabat diraja seperti yang diumumkan aktres jelita itu semalam.

“Saya sentiasa mendoakan kebahagiaannya. Apa sahaja yang terbaik untuknya, saya akan memberikan sokongan,” ujar Fattah kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Neelofa yang juga pengacara program TV, Meletop mengesahkan kepada wartawan bahawa dia sedang berkawan dengan seorang kerabat diraja seperti yang tersebar di laman sosial baru-baru ini.

Bagaimanapun, Neelofa, 28, memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai desas-de­sus tersebut kerana khuatir akan timbul dakwaan yang tidak benar.

Pengakuan Neelofa itu me­ngundang pelbagai reaksi ter­utamanya daripada peminat Fattah biarpun masing-masing sudah menjelaskan situasi sebenar mengenai hubungan mereka ketika sesi bertemu peminat yang diadakan minggu lalu.

Menerusi laman Instagram milik Fattah, rata-rata peminat me­lontarkan sokongan positif kepada pelakon Suri Hati Mr. Pilot itu.

Sehubungan itu, Fattah meluahkan rasa terharu dengan sokongan dan kata-kata sema­ngat yang diberikan oleh peminat kepadanya.

“Saya rasa begitu tersentuh de­ngan sokongan dan doa yang tidak putus-putus daripada peminat. Sejak awal sehingga keluar ke­nyataan daripada Neelofa, mereka (peminat) sentiasa meninggalkan komen positif kepada saya.

“Saya berharap mereka terus menyokong kami berdua selagi kami masih berada dalam industri. Saya ada menerima soalan, masih relevankah sokongan mereka kepada saya dan Neelofa?

“Jawapan saya mudah, walaupun kami tidak lagi bersama-sama tetapi sokongan daripada peminat masih lagi relevan ke­rana sebagai artis kami amat memerlukannya,” jelasnya.

Ditanya mengenai pengakuan yang dibuat Neelofa semalam, Fattah lebih selesa mengambil langkah mendiamkan diri.

Menurut penyanyi lagu Wa­nita Terakhir ini, dia enggan me­ngulas lanjut kerana pengakuan yang dibuat Neelofa itu melibatkan banyak pihak.

“Saya tidak berani untuk memberi sebarang komen dalam perkara ini. Hal ini melibatkan banyak pihak dan saya perlu menjaga hati orang lain juga. Saya tidak mahu kata-kata saya menimbulkan perkara yang tidak diingini,” jelasnya ringkas.