Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas dia mengambil pelbagai pertimbangan terma­suk mengadakan pertemuan empat mata dengan pelakon wanita yang pernah dikaitkan sebagai kekasihnya itu.

Fattah bagaimanapun menegaskan, dia tidak berhasrat untuk berkongsi punca atau sebab kenapa berbuat demikian.

“Saya sudah berbincang perkara ini secara peribadi dengan Neelofa untuk menjelaskan sebab saya tidak mahu berlakon dengannya dan dia bersetuju dengan keputusan tersebut.

“Keputusan itu juga dibuat atas sebab-sebab peribadi yang tidak boleh saya kongsi dengan peminat. Sepatutnya perkara ini tidak timbul dan berlarutan sehingga sekarang,” jelasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Neelofa didakwa menarik diri daripada membintangi drama HSC arahan Michael Ang yang diadaptasi berdasarkan sebuah novel popular dan dijangka disiarkan di saluran Astro Ria tidak lama lagi.

Fattah pada masa sama meminta peminat mereka agar menghormati keputusan tersebut demi menjaga hati keluarganya dan Neelofa serta pihak-pihak berkepentingan lain.

“Adalah lebih baik untuk kami tidak berlakon bersama-sama pada masa terdekat. Mana tahu kalau ada rezeki pada masa akan datang, mungkin kami akan bergandingan semula,” tambahnya sambil mengharapkan feno­mena #Lofattah tidak lagi di­perkatakan.

#Lofattah merupakan sing­katan nama Neelofa dan Fattah yang tercetus selepas kedua-duanya digandingkan dalam drama Suri Hati Mr. Pilot yang mencetus fenomena baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Fattah berterima kasih kepada pihak Astro kerana telah memilihnya untuk membintangi drama tersebut dan membiarkan pihak produksi menentukan pasangan heroinnya yang baharu kelak.