Fatimah Azzahra yang menghidap penyakit leukemia sejak 2015 itu menghembuskan nafas terakhir di sisi bapanya, Mohd. Bukhori Md. Yatim, 41, kira-kira pukul 11 pagi.

Sebelum ini, anak kelima daripada tujuh beradik itu dikatakan mampu bertahan dalam tempoh empat bulan lagi, namun takdir menentukan dia ‘pergi’ lebih awal iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Mohd. Bukhori ketika menghubungi wartawan bagi memaklumkan perkara ini berkata, dia reda dengan pemergian anak kesayangannya itu.

Katanya, jenazah Fatimah Azzahra dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Perlis di sini.

“Anak syurga kami telah hilang kesakitannya dan bertemu Allah SWT. Terima kasih kepada semua pihak selama ini atas doa kepada Fatimah Azzahra,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 11 Mei lalu melaporkan persiapan secara sederhana keluarga Fatimah Azzahra dalam menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal kali ini, khususnya dengan memenuhi segala kemahuan dan kehendak kanak-kanak tersebut.

Manakan tidak, tinggal empat bulan kanak-kanak ini dikatakan mampu bertahan untuk melawan penyakit yang dihidapinya.

Bagi insan paling dekat dan rapat dengan Fatimah Azzahra iaitu Mohd. Bukhori, andai kali ini merupakan Ramadan dan Syawal terakhir buat puterinya itu, mereka sekeluarga sudah bersedia dan reda.

Kata Mohd. Bukhori, dalam tempoh yang ada ini, setiap masa dan detik itu cukup berharga bagi dia dan keluarga meluangkan masa dengan Fatimah Azzahra khususnya di rumah mereka di Taman Seri Meranti, Changlun, Kedah.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kasih sayang tidak berbelah bahagi terhadap anaknya, telah mendorong seorang bapa berhenti kerja sebagai juruteknik yang sudah lebih 20 tahun diceburinya bagi menjaga serta memberi sepenuh tumpuan terhadap puteri kesayangannya yang disahkan menghidap leukemia sejak 2015. - UTUSAN ONLINE