Nur Syafiqah Azaman, 23, berkata, pada mulanya dia rasa terpanggil untuk membantu rakannya di kaun­ter memandangkan ke­dua-dua penuntut berkenaan tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Kebe­tulan pula, seorang lagi rakan sekerja membuat rakaman video semasa saya berurusan dengan ke­dua-dua penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah itu, berhubung dengan pembe­lian kereta,” katanya ketika ditemui di pejabat JPJ negeri hari ini.

Rakaman video selama satu minit 37 saat itu telah tular di aplikasi WhatsApp dan juga Facebook dengan tontonan lebih sejuta orang.

Nur Syafiqah seterusnya memberitahu, sejak kecil lagi dia sudah dilatih bercakap Mandarin kerana ibunya berketurunan Cina yang memeluk Islam setelah berkahwin dengan bapanya, seorang anggota polis.

“Kalau dengan ibu, saya bercakap Mandarin dan dengan bapa pula dalam bahasa Me­layu,” katanya yang berasal dari Changlun, Kedah.

Nur Syafiqah berkata, dia kemudian berpeluang mendalami bahasa itu setelah dihantar belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yit Min, Changlun.

Beliau berkata, dengan kelebihan berbahasa Mandarin membolehkan dia membantu beberapa pelanggan JPJ dalam kalangan orang Cina terutamanya warga emas.

Lulusan Diploma Kesetiausahaan dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh ini mengakui rasa seronok sekali pun baru dua bulan bertugas di JPJ negeri kerana diberi peluang menggunakan kebolehannya berbahasa Mandarin.