NIK SAFIAH KARIM

Sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin berkata, isu itu perlu dilihat dalam konteks memupuk ke­sejahteraan masyarakat me­nerusi penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.

“Saya berpendapat sekolah vernakular perlu menghargai langkah kerajaan yang tidak menghapuskan sekolah jenis ini. Jadi, untuk membalas semula keprihatinan kerajaan itu, mereka harus melaksanakan dasar pendidikan yang sejajar dengan kepentingan nasional.

“Oleh itu, mereka perlu memastikan pelajar masing-ma­sing fasih berbahasa Malaysia se­ku­rang-kurangnya setanding de­ngan pelajar sekolah kebangsaan kerana kita berada dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan mahu membina masa depan yang harmoni,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu sekolah vernakular memastikan pelajar­nya fasih berbahasa Malaysia.

Titah baginda, adalah janggal dan ironis jika seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa kebangsaan yang merupakan identiti sesebuah negara bangsa.

LIM SWEE TIN
LIM SWEE TIN

Swee Tin berkata, sekolah vernakular perlu melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan pelajarnya yang bukan sahaja meliputi pertandingan pidato dan syarahan, sebaliknya program yang melibatkan penulis, pemikir atau persatuan bahasa Melayu.

“Sekolah-sekolah itu perlu me­wujudkan interaksi dengan pihak lain seperti melaksanakan program bersama sekolah kebangsaan dan lawatan ke kelompok ma­syarakat yang menggunakan bahasa Malaysia atau mengadakan majlis bersama persatuan-persatuan yang sedia ada.

“Peranan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam menganjurkan program sedemikian akan memudahkan dan mempercepatkan pelajar menguasai bahasa serta dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk menuturnya,” ujarnya.

Sementara itu tokoh bahasa dan budaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Nik Abdul Karim berkata, pendidikan bahasa Malaysia di sekolah vernakular ada diajarkan, tetapi bahasa Cina dan Tamil lebih dianggap penting.

“Mereka tidak memandang kepentingan menguasai bahasa Malaysia kerana pelajarnya boleh bekerja dalam sektor yang bukan menggunakan bahasa kebangsaan.

“Tidak dinafikan ada pelajar yang boleh menguasai bahasa Malaysia dengan baik, namun secara amnya lulusan sekolah vernakular tidak fasih, hanya sekadar lulus dalam peperiksaan,” katanya.

Tegas Nik Safiah, sebagai warganegara Malaysia, pelajar sekolah vernakular perlu menghormati bahasa kebangsaan dan tidak seharusnya mengabaikan penguasaan dalam bahasa itu kerana ia mencerminkan identiti sebagai rakyat Malaysia.