Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembinaan yang sedang berjalan itu menghadapi masalah disebabkan ada beberapa penduduk yang meneroka tanah secara haram enggan berpindah walaupun dibayar saguhati oleh kerajaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kerja-kerja pembinaan terjejas dan mungkin berdepan dengan kelewatan untuk disiapkan mengikut jadual.

“Kita sedia maklum bahawa sudah ada dua fasa LPBS dilaksanakan setakat ini iaitu laluan Nyabau-Bakun sepanjang 45km.

“Ini (kerja pembinaan) sedang berjalan cuma ada cabaran sikit sebab masalah pampasan. Terdapat tanah yang penduduk teroka secara haram tetapi kita akan membayar saguhati, namun masih ada yang enggan berpindah.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku kelewatan daripada segi pelaksanaan dan kami akan selesaikan masalah ini secara bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mempercepatkan proses pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Jalan Kuching-Serian Dari Batu 10 Ke Batu 15 di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong dan Pengarah JPJ Sarawak, Ibrahim Othman.

LPBS yang menelan kos RM15 bilion dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mac lalu, akan dibina dalam tiga fasa.

Fasa pertama melibatkan laluan Nyabau-Bakun sejauh 43km; kedua, Tanjung Datu-Sematan-Miri sejauh 780km termasuk jalan baharu Tanjung Datu-Sematan, 40km (bermula pertengahan 2016 hingga pertengahan 2023); ketiga, dari Tedungan Merapok-Sindumin, Limbang-Lawas sejauh 96km (pertengahan 2018 hingga pertengahan 2023).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah pula kini di peringkat akhir perjanjian bagi menentukan jajaran, juruperunding, kontraktor dan pelbagai lagi perkara berkaitan sebelum dijangka dimulakan pada Mac tahun depan.

Mengenai projek menaik taraf Jalan Kuching-Serian sejauh 9.2km dari Batu 10 hingga Batu 15, beliau berkata, apabila kerja-kerja pembinaan siap pada Ogos 2017, jalan berkenaan dijangka mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

“Projek menelan kos hampir RM80 juta ini membabitkan pembinaan empat lorong dua hala, menggantikan lima jambatan, menaik taraf lima persimpanan, menyediakan lima pusingan U dan satu bulatan dan beberapa lagi kemudahan lain.

“Pelaksanaan projek menaik taraf jalan ini apabila siap kelak bakal memberi impak kepada sosial dan ekonomi di Kuching kerana menyediakan rangkaian jalan raya lebih selesa dan meminimumkan risiko kemalangan berikutan jalan sedia ada sekarang adalah sempit yang membahayakan pengguna jalan raya ingin memotong kenderaan di hadapan,” katanya.