Bagaimanapun Farouk , 51, mengakui, keputusannya menerima tawaran berlakon drama bukan kerana ingin kembali aktif dalam bidang lakonan sebaliknya dia mahu menggunakan peluang tersebut untuk bertemu rakan-rakan lama.

“Beberapa tahun kebelakangan ini saya ada terima beberapa tawaran berlakon. Namun penglibatan saya bukan kerana ingin kembali aktif berlakon tetapi lebih kepada niat untuk bertemu kawan-kawan lama. Itulah sebab utama kenapa saya tidak menolak beberapa tawaran berlakon drama.

“Untuk drama terkini, saya akan berjumpa dengan pelakon Razak Ahmad. Seingat saya sudah terlalu lama kami berdua tidak berjumpa.

“Begitu juga dengan penglibatan dalam drama Dia, saya dapat bertemu dengan Zamarul Hisyam, Aleza Shadan, Fazlina Ahmad Daud dan Azman Jantan. Saya gembira apabila dapat berjumpa mereka.

“Jika tidak kerana sama-sama terlibat dalam drama, agak sukar untuk kami semua bertemu kerana masing-masing mempunyai jadual kerja yang padat dan kehidupan berkeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Farouk menjelaskan dia kini selesa bergelar pengacara program TV dan turut aktif sebagai pengacara majlis korporat.

“Sebenarnya menerusi bidang pengacaraan, saya dapat rasakan usaha saya lebih dihargai sama dari segi bayaran dan juga penghargaan terhadap apa yang saya buat ketika mengacara.

“Bukan saya minta ditatang tetapi mereka lebih menghargai kerana saya mempunyai pengalaman. Mereka juga memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan program tanpa ragu-ragu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE