Bagaimanapun, kata Farid, sebagai suami, dia mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan segala masalah dengan sebaik mungkin bagi memastikan rumah tangga yang dibina selama lima tahun itu kekal utuh dan bertahan ke akhir hayat.

"Rumah tangga ini ibaratnya seperti cuaca tertentu. Ada kalanya panas dan kadang-kadang hujan lebat. Begitu juga perkahwinan saya dan isteri.

"Apa jua masalah yang berlaku memantangkan kami berdua dari segi pendekatan dan juga tindakan yang boleh diambil. Yang penting ialah sentiasa bermuhasabah diri dan kenal pasti masalah sebenar yang menjadi punca persengketaan," ujar aktor kelahiran Alor Setar, Kedah itu dalam satu pertemuan dengan Utusan Online di sini hari ini.

Menurut Farid, dalam berhadapan dengan kemelut peribadi, dia lebih senang mengamalkan pendekatan ‘orang lama’ iaitu mengambil masa untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan masing-masing.

"Saya percaya sekiranya ada perkara-perkara yang melibatkan masalah dalam rumah tangga, cara terbaik ialah merujuk kepada pakar-pakar yang bertauliah dalam bidang berkaitan.

"Sebagai suami, apabila sudah membuat keputusan untuk menerima akad dan nikah, tanggung jawab dia ialah memastikan asas utama dalam perkahwinan iaitu ilmu agama perlu jadi keutamaan," kata Farid yang bakal muncul dalam filem J Revolusi pada Mac ini.

Mengulas dakwaan yang pasangan muda kerap menghadapi masalah kewangan dalam perkahwinan, Farid tidak melihat ia sesuatu yang tepat.

"Tanyalah sesiapa pun, tidak akan pernah cukup duit sampai bila-bila.

"Apa yang penting sebagai suami isteri harus pandai menggunakan rezeki yang ada dan mesti diperoleh daripada sumber yang halal," kata Farid.

Kepada pasangan muda yang ingin berkahwin, Farid menasihatkan mereka agar mendalami ilmu agama terlebih dahulu dalam usaha memastikan perkongsian hidup suami isteri kekal bahagia.

Hasil perkahwinan Farid dan Diana, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohammad, 4, dan Aurora, 1. - UTUSAN ONLINE