Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, titah Tengku Abdullah mengenai pemulangan gelaran DIMP itu dizahirkan secara diplomasi yang menggambarkan keperibadian baginda sebagai seorang raja yang baik hati.

“Itu titah diplomasi. Baginda titahkan kalau pulangkan (darjah kebesaran) lebih baik. Sebenar­nya kerajaan negeri juga boleh tarik balik dengan per­kenan raja. Kalau saya jadi Farid saya pulang balik,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini, hari ini.

Kelmarin, Tengku Abdullah tanpa menyebut nama Farid mengakui, baginda berasa dukacita dengan tindakan pelakon berkenaan yang didakwa di mahkamah kerana menampar seorang anggota polis dan menendang orang awam dalam kejadian di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 11 Januari lalu.

Farid merupakan antara artis tanah air yang menerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan pada 16 Di­sember lalu.

Pada Selasa la­­­lu, suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam.

Berhubung kenyataan Datuk Mahfuz Omar yang dikatakan menghina Sultan Pahang dalam satu ceramah baru-baru ini, Adnan berkata, permohonan maaf Ahli Parlimen Pokok Sena itu mesti dilakukan tanpa sebarang syarat.

“Mahfuz telah minta maaf, tetapi dia kena minta maaf tanpa syarat. Jangan selepas minta maaf salahkan orang sana sini. Asas kita kena betul, kita kalau berucap kena fikir dahulu, kepentingan raja-raja jangan disentuh,” katanya.