Perkara itu terbongkar apabila teraju utama drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu memuat naik gambar bersama satu laporan polis di akaun Instagramnya hari ini.

Menurut sumber, Farid Kamil dikatakan menyuruh adiknya, Anis Anwar Zahari untuk mengambil barang peribadinya kerana dia sendiri tidak dibenarkan masuk di rumah tersebut.

Ujarnya, dia kemudian membuat laporan polis pada 18 Januari lalu untuk mengelak sebarang salah faham dengan mana-mana pihak.

“Dalam laporan polis yang dibuat itu, hanya adiknya sahaja yang dibenarkan untuk mengambil barangan peri­badinya. Difahamkan, dalam laporan polis itu juga, Farid Kamil turut menyatakan dia membawa keluar kedua-dua anak untuk menemaninya ke hospital dengan izin Diana Danielle.

“Oleh kerana kediaman itu di Casa Tropicana, maka laporan itu telah dipindahkan ke Mutiara Damansara, Petaling Jaya,” kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kira-kira pukul 1.40 petang hari ini, Farid Kamil memuat naik sekeping gambar di Instagram sambil memegang laporan polis berlatar belakangkan Balai Polis Mutiara Damansara yang menimbul tanda tanya mengenai tujuan laporan itu dibuat.

Dalam status gambar tersebut beliau meminta agar orang ramai mendoakan perjuangannya bagi membela nasib orang yang teraniaya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor ketika ditanya sama ada pelakon itu ada membuat laporan polis memberitahu, tiada laporan polis yang dibuat oleh pengarah filem tersebut di Se­langor.

“Cuma kita dimaklumkan dia membuat laporan polis pada 18 Januari lalu di Balai Polis Brickfields di bawah Kuala Lumpur untuk mengambil barang di rumahnya sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kelab Pencegahan Jenayah Kolej Universiti Saito di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Peta­ling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din pula memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan dibuat oleh pelakon itu di Balai Polis Mutiara Damansara atau mana-mana balai polis di bawah pentadbiran Ibu pejabat Polis daerah itu.