Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Mansor Omar berkata, sehingga kini kempen makan buah-buahan tempatan itu telah dijalankan oleh agensi itu di sekolah-sekolah rendah sejak lima tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Kata beliau, berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan pengambilan buah-buahan sebanyak 400 kg perkapita penduduk setahun, penduduk negara ini hanya mengambil buah-buahan kira-kira 65 kg perkapita setahun sahaja.

“Jumlah pengambilan buah-buahan tempatan ini masih terlalu rendah, apatah lagi dalam kalangan generasi muda. Anak-anak kita kurang berminat (makan buah-buahan tempatan) kerana lebih gemarkan makanan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Bermusim di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Dalam pada itu, Mansor menyeru orang ramai agar mengikis mitos terhadap buah-buahan tempatan sehingga menyebabkan ia kurang digemari berbanding buah-buahan yang diimport.

“Sebagai contoh, durian tidak menyebabkan panas badan sekiranya diambil kuantiti yang sederhana dan begitu juga dokong (sakit urat),” jelasnya.

Mansor seterusnya memberitahu, pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan pengambilan sayur-sayuran tempatan dalam kalangan penduduk di negara ini menerusi kepelbagaian masakan.

Kata beliau, berbanding beberapa buah negara lain, penduduk negara ini kurang mengetahui cara dan teknik masakan yang betul sehingga menyebabkan sayur-sayuran tidak digemari khususnya bagi generasi muda.

“Kalau di China, sayur kangkung sahaja mempunyai lebih 100 jenis resepi masakan dan begitu juga kita kurang mengetahui cara memotong dan penyediaan sayur-sayuran yang betul.

“Menurut statistik, rakyat negara ini mengambil 55 kg sayur-sayuran perkapita penduduk setahun berbanding di Jepun sehingga mencecah 150 kg sayur-sayuran perkapita penduduk setahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE