FAUZI MOHAMAD
FAUZI

Pengarahnya, Fauzi Mohamad  berkata, melalui jualan itu, pelbagai buah-buah tempatan  terutama durian, manggis, rambutan dan salak dapat dinikmati oleh semua penggemar dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

"Sebagai contoh, durian kampung akan dijual antara RM6 hingga RM8 sekilogram (kg) berbanding di pasaran antara RM8 hingga RM10, begitu juga manggis yang akan dijual antara RM3 hingga RM4 berbanding harga pasaran lebih RM5.

Menurut beliau, program Jualan Anak Beranak itu bertujuan untuk membantu pekebun menjual secara terus kepada Fama tanpa melalui orang tengah yang sekali gus membolehkan pengguna mendapat harga yang lebih rendah selain mengelakkan berlaku lambakan.

"Buat permulaan, 10 tan metrik pelbagai buah-buahan dijangka akan dijual dalam program berkenaan yang turut dibawa masuk dari Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah selain sumber tempatan.

"Jika program ini mendapat sambutan, konsep seumpama itu akan diadakan setiap hari Khamis pada setiap minggu dan akan diperluaskan ke setiap daerah sepanjang musim buah-buahan," katanya ketika berucap dalam Majlis Silaturahim Pasar Tani di Pasar Tani Padang Hiliran di sini hari ini.

Mengenai pasar tani beliau, berkata, daripada  enam buah pasar tani baharu yang disasarkan tahun ini, empat daripadanya telah diwujudkan iaitu di Ajil, Besut, Dungun dan Kuala Terengganu manakala dua lagi dalam proses.

"Kini, sebanyak 30 pasar tani telah diwujudkan di seluruh negeri yang melibatkan empat di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (lima), HuluTerengganu (empat), Dungun (empat), Besut (enam), Setiu (dua), Kemaman (empat) dan Marang (satu)," ujarnya.

Katanya, sehingga kini seramai 1,300 peserta terlibat dengan pasar tani yang berjaya meraih hasil jualan sehingga RM54.2 juta sejak Januari sehingga kini.

"Adalah dijangka sehingga akhir tahun ini peserta pasar tani mampu meraih hasil jualan meningkat sehingga RM110 juta berbanding RM108 juta pada tahun lalu," ujarnya. - UTUSAN ONLINE