Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, gerai jualan tersebut di buka selama sebulan sempena musim haji tahun ini.

"Kita akan mengadakan pesta jualan durian untuk memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan Musang King yang kini sudah turun harga kepada RM30 sekilogram. Sebelum ini Musang King pernah mencecah RM100 sekilogram.

"Buat julung kali pada 21 Julai ini kita akan buka gerai durian di tapak Tabung Haji Sepang untuk memberi peluang kepada orang ramai yang menghantar ahli keluarga mereka menunaikan haji membeli Musang King dan lain-lain," katanya kepada pemberita sempena Majlis Aidilfitri Usahawan Pasar Tani di perkarangan Stadium Malawati di sini hari ini.

Tambah Abdul Ghariff, selain daripada Tabung Haji Sepang, pihaknya juga akan membuka pusat jualan durian di SACC Mall Shah Alam, Bangunan SUK, Plaza Masalam, Tapak Pasar Tani Puchong dan lain-lain pasar tani di negeri ini.

Jelasnya lagi, durian kampung dari Selangor, Perak dan Pahang yang berkualiti turut akan dipasarkan sepanjang program selama sebulan tersebut di semua lokasi terlibat.

"Kita mengalu-alukan orang ramai untuk membeli buah durian Musang King dan lain-lain yang akan mencapai kemuncak gugur bulan ini di lokasi terbabit.

"Paling menarik kita sedia menerima kembali seandainya buah durian yang kami pasarkan rosak atau keras di dalam, kita hanya mahu memberikan yang terbaik untuk para pembeli," katanya. - UTUSAN ONLINE