Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Mansor Omar berkata, sejak dijalankan secara serius tahun lalu, terdapat 3,811 kedai di bawah program itu dengan mencatatkan seramai 18,000 pelanggan telah menggunakan perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, prestasi jualan menerusi Agrobazaar Online itu turut mencatatkan jualan hampir RM1.9 juta sehingga kini apabila sebanyak 8,594 produk usahawan pelbagai jenis di seluruh negara berjaya dipasarkan.

“Bagaimanapun, kita turut menggesa para usahawan yang terlibat supaya lebih kreatif dan sentiasa mempromosikan bersama produk mereka menerusi pendekatan tersebut dan tidak boleh diletakkan 100 peratus di atas tanggungjawab FAMA.

“Pihak FAMA hanya membantu menyediakan ruang dan peluang untuk usahawan mempromosi serta menceritakan kebaikan produk masing-masing supaya lebih ramai pengguna tertarik dan menggunakan produk yang dipasarkan dalam talian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Seminar Pemasaran Online dan Jualan My Best Buy yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman.

Mansor berkata, usahawan yang berminat untuk menyertai Agrobazaar Online mestilah mendaftar dengan FAMA sebelum pihaknya menilai produk dan membenarkannya dipasarkan di laman ber­kenaan.