Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, kerajaan telah menyediakan pembiayaan Mikro Myagrosis Agrorperneur Muda pada 2015 di universiti-universiti tempatan bertujuan menggalakkan mahasiswa menceburi perniagaan dalam sektor perladangan dan pertanian.

Menurutnya, dana berjumlah RM7.5 juta telah disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS) kepada FAMA untuk pelaksanaannya pada tahun lalu.

"Pembiayaan disediakan tanpa faedah dengan siling dari RM10,000 hingga RM50,000 dan sehingga Ogos tahun ini seramai 63 orang telah mendapat pembiayaan dana tersebut berjumlah RM2.1 juta.

"Pemohoan terdiri daripada usahawan muda dalam industri asas tani, pemasaran buah-buahan, pemprosesan santan segar, ikan segar, tanaman fertigasi, tanaman secara konvensional, trak makanan (food truck), ternakan ikan, ayam, kambing dan peruncitan," katanya dalam ucapan perasmian Program Taklimat Penyediaan Rancangan Perniagaan (RP) bagi permohonan geran dan pembiayaan MYAGROSIS Agropreneur Muda negeri Sabah, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Ab. Razak Ab. Majid dan Pengarah FAMA negeri, Ribin Wahid.

Program selama dua hari itu disertai kira-kira 407 peserta dari enam daerah di seluruh negeri ini.

Badruddin berkata, kerajaan memahami keperluan dan kehendak rakyat terutama golongan belia yang berminat menceburi sektor pertanian tetapi tidak memiliki kemahiran dan modal bagi melaksanakannya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menerusi agensi dan jabatan seperti FAMA, dan Tekun telah menyediakan pelbagai jenis bantuan termasuk kewangan dan latihan sebagai galakkan kepada para belia tempatan menjadi usahawan berjaya dalam bidang pertanian.

Mengenai program tersebut, beliau berkata, selepas di Kota Kinabalu, FAMA akan menjelajah ke seluruh Sabah untuk menggerakkan belia supaya memahami serta menyuntik budaya niaga dalam diri mereka agar melibatkan diri secara komersial dalam sektor pertanian dan perladangan. - UTUSAN ONLINE