Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, usaha itu telah dimulakan beberapa bulan lalu menerusi Kempen Lebihkan Makan Ulam-ulaman dan setakat ini berjaya mengumpul seba­nyak 202 jenis dari pelbagai negeri termasuk manfaat pengambilannya dalam menu harian.

Beliau berkata, hidangan Melayu banyak menggunakan ulam sejak dahulu kerana memiliki pelbagai khasiat selain mudah untuk disediakan, iaitu secara mentah atau dicelur.

“Walau bagaimanapun, pe­ngam­bilan ulam-ulaman ini tidak begitu diamalkan dalam kalangan generasi muda kerana beberapa faktor, antaranya pengaruh makanan segera dan tidak didedahkan oleh ibu bapa masing-masing.

“Atas sebab itu, FAMA ingin mempromosikan ulam-ulaman tempatan kepada seluruh ma­syarakat dan menggalakkan pe­ngambilannya dalam menu harian selain mengurangkan kebergantungan terhadap produk pertanian import,” katanya selepas melawat ruang pameran dan gerai jualan sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2017.

Dalam perkembangan sama, Ahmad memberitahu, pihaknya menyasarkan tempoh tiga bulan untuk mengumpul kesemua ulaman tersebut seterusnya bekerjasama dengan syarikat penerbitan bagi menghasilkan sebuah buku mengenai produk pertanian itu.

Menurutnya, FAMA turut me­rancang untuk menyenaraikan manfaat, nutrisi dan cara memasak atau menghidangkan ulam tersebut bagi memudahkan orang ramai mengamalkannya.

Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 yang bermula kelmarin hingga Selasa ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kumpulan Utusan bagi menghargai jasa dan sumbangan golongan pendidik selama ini.

Program selama lima hari itu disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dengan beberapa aktiviti turut diadakan, antaranya pertandingan memasak, program khatam al-Quran perdana, pertandingan koir, klinik tulisan Jawi serta pameran dan jualan melibatkan 130 gerai.

Acara kemuncak sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di jadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa ini.