Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, pihaknya sedang merancang menambah pengeluaran durian bagi menampung permintaan tinggi sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung dapat membantu pekebun durian tempatan sekali gus mampu meningkatkan pendapatan mereka.

“Sehingga kini, kita berjaya memasarkan durian ke China dengan nilai eksport untuk tahun ini sahaja telah berjumlah RM1 juta.

“Memandangkan durian dari Malaysia berkualiti tinggi, ia menyebabkan buah ini meraih permintaan tinggi sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penghantaran durian sejuk beku ke Qinzhou, Guangxi, China di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Mengulas lanjut, Badruddin berkata, penghantaran durian jenis Musang King itu ke Qinzhou adalah bersempena Festival Durian Naning 2017 pada 3 hingga 5 November ini.

Katanya, festival julung-julung kali diadakan dan mendapat kerjasama pihak berkuasa Wilayah Guangxi itu bertujuan untuk mempromosikan durian ke pasaran antarabangsa.

“FAMA telah membuat penghantaran kontena pertama durian itu menerusi kapal laut pada 11 Oktober lalu dan penghantaran kedua hari ini adalah dibuat me­lalui kapal terbang.

“Untuk makluman, penghantaran durian sejuk beku China itu adalah percubaan kali pertama kerana sebelum ini kerajaan China hanya membenarkan buah itu dalam bentuk ulas,” katanya.