Abdul Ghariff Ramin

Pengarah FAMA negeri, Abdul Gha­riff Ramin berkata, bekalan jagung itu merupakan jumlah yang diperoleh hasil pengumpulan daripada peserta ladang kontrak daerah Sabak Bernam dan Klang.

“Daripada jumlah keseluruhan bekalan jagung itu, sebanyak 80,000 tongkol dibekalkan oleh seorang peserta ladang kontrak di Sabak Bernam manakala baki 50,000 tongkol pula dibekalkan oleh dua peserta dari Klang.

“Kesemua peserta ladang kontrak tersebut di bawah bimbi­ng­an FAMA dan mereka terdiri daripada usahawan tani muda yang dikenal pasti berpotensi menjalankan projek tanaman jagung,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanaman Jagung MAHA 2016 di sini hari ini.

Tambah Abdul Ghariff, menerusi bimbingan tersebut, FAMA menyediakan khidmat nasihat secara berterusan kepada para peserta selain menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan hasil keluaran mereka berkualiti dan memenuhi kritera yang ditetapkan oleh MAHA 2016.

Sementara itu, seorang peserta ladang kontrak penanaman jagung, Mohd. Zakaria Ahmadin, 29, ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana FAMA memilih dan memberi kepercayaan kepadanya membekalkan 80,000 tongkol jagung untuk MAHA 2016.

“Ini pertama kali saya menandatangani perjanjian membekalkan jagung dengan jumlah yang besar. Sebelum ini, saya hanya bekalkan sekitar 5,000 tongkol jagung sahaja kepada FAMA selain untuk pasaran setempat seperti pasar tani dan pasar malam.

“Saya yakin dengan pengalaman mengusahakan tanaman jagung di atas ladang seluas 35 hektar sejak lima tahun lalu mampu memenuhi kuantiti dan baka jagung yang dikehendaki. Tambahan pula, FAMA turut menyediakan jadual penanaman jagung mengikut masa selain memberi khidmat nasihat dan pemantauan berterusan bagi memastikan hasil yang baik,” jelas Mohd. Zakaria.