Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed berkata, sebanyak 1,000 tan metrik Terengganu dijangkakan dikeluarkan sehingga akhir tahun ini, dan separuh daripada akan dipasarkan oleh agensi berkenaan bagi mengelak berlaku lambakan dan menjamin harganya.

Katanya, pengeluaran tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu dan perkembangan itu sedikit sebanyak dapat merealisasikan usaha untuk memartabatkan duku Terengganu yang suatu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan penggemar buah.

"Duku Terengganu merupakan antara varieti duku langsat yang unik kerana kemanisannya, kenyal, berbiji kecil dan rasa sejuk apabila dimakan.

"Dalam masa sama, ia juga akan dipasarkan di tempat-tempat tumpuan pengguna termasuk di 1,500 rangkaian pasar tani, MyFarm Outlet, Agrobazar Rakyat, Agrobazar Malaysia dan pasar tani kekal seluruh negara terutama di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang agar lebih ramai dapat menikmati rasa sebenar duku Terengganu ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Dialog dan Memeterai Perjanjian Jual Beli Peserta Ladang Kontrak Kementerian Pertanian di Pusat Sivik Serada, Kampung Banggol Tokku Serada di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Terdapat 19 kawasan pengeluaran duku membabitkan lima daerah di negeri ini dengan yang paling banyak di Hulu Terengganu, Besut dan Kuala Terengganu.

Fauzi turut menyentuh mengenai rancangan untuk membawa petani di negeri ini memasarkan produk mereka di pasar-pasar tani di Lembah Klang sebagai salah satu usaha memartabatkan duku Terengganu di samping meraih pendapatan berlipat ganda.

Katanya, FAMA negeri masih lagi mengenal pasti mereka yang berminat dan berharap petani dapat memberi perhatian kepada soal teknik penggredan untuk memastikan jualan produk yang bermutu kepada pembeli.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, jangka hayat duku yang pendek dan cepat rosak menyebabkan buah itu tidak dapat dieksport ke luar negara berbanding durian, nangka, manggis dan nanas, justeru pasaran antarabangsa ketika ini hanya tertumpu kepada Singapura.

"Duku ini merupakan sejenis buah yang boleh bertahan dalam tempoh tiga hari dan ia perlu segera dipasarkan selepas dituai. FAMA turut merancang untuk menghasilkan pes duku bagi meningkatkan nilai tambah buah ini," katanya. - UTUSAN ONLINE