Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawannya, Rosilawati Abu Hassan berkata, ketika ini FAMA menyediakan 732 lokasi pasar tani di seluruh negara termasuk 15 daripadanya merupakan tapak baharu.

Beliau berkata, bagi memastikan peningkatan nilai jualan, FAMA akan membuka 45 buah lokasi lagi di seluruh negara sehingga Disember ini berikutan permintaan tinggi daripada masyarakat.

“Berikutan daripada penambahan jumlah tapak pasar tani itu, nilai sasaran jualan turut meningkat kepada RM860 juta berban­ding RM760 juta pada tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Pelancaran Jimat Belanja Aidilfitri Pasar Tani peringkat negeri Melaka 2018 di tapak Pasar Tani Merlimau di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Ja­wa­tankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah FAMA Melaka, Che Samudin Hassan.

Menurut Rosilawati, sehingga Mei lalu, hasil jualan pasar tani di seluruh negara telah mencecah RM300 juta dan yakin nilai tersebut akan terus meningkat berikutan kewujudan lebih banyak tapak-tapak pasar yang bersesuaian dan strategik.

Selain itu katanya, sempena perayaan Aidilfitri, FAMA turut menyediakan bekalan 350 metrik tan ayam dan 150 metrik tan daging dalam tempoh seminggu untuk disalurkan ke pasar tani seluruh negara.

“Di pasar tani ini, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barang keperluan sempena Aidilfitri termasuk biskut raya pada harga penjimatan sehingga 20 peratus berbanding di pasar raya,” katanya.